Friday 18 March 2016

On 05:13 by Admin in

Pantang Larang Penyakit Resdung

Sekarang ini, ramai yang menghidap penyakit resdung yang berlaku tidak kira umur atau jantina. Semuanya tidak lari dari penyakit resudng atau dipanggil sinusitis. Jom kita kenal tentang penyakit resdung ini.



Apa itu resdung @ sinusitis? 

Resdung sebenarnya adalah sebuah ‘pintu’ kepada kemasukan kuman-kuman lain yang ada. Makna: pada mulanya Resdung ni hanyalah hama yang dikaitkan dengan gejala bersin, gatal dan batuk ringan. Bila hal kesihatan diabaikan, lama-kelamaan ia akan merebak. Segala batuk, gatal dan bersin bertukar menjadi berat. Kulit pula akan ketara nampak bermasalah (seperti jerawat nanah, merah dan bisul.) Dan bila kuman resdung ni dah banyak, maka ia akan membuat sarang berupa lendir yang melekat di bawah permukaan kulit. Lendir ini berupa saluran sambungan yang mengalir cecair busuk di dalamnya (tu pasal bila picit muka, keluar benda putih kecik). Ini adalah tapak resdung. Kulit yang sudah dihinggapi akan mudah berjerawat. Seterusnya, pertahanan badan (antibodi) menjadi lemah dan kuman-kuman lain dapat ceroboh masuk. Dan bila banyak kuman masuk dan bercantum antara satu sama lain, maka boleh mewujudkan penyakit lain yang lebih berat. Merujuk pada gambarajah di bawah, ini adalah hasil kerosakan yang boleh berlaku akibat dari pengabaian yang ‘total’ (tidak mengambil berat soal penjagaan kesihatan ataupun mengamalkan cara yang SALAH.) Jadi, berhati-hatilah. Amalkan gaya hidup sihat.


Pantang Larang Pemakanan Bagi Orang Menghidap Penyakit Resdung


1. Elakkan daripada memelihara binatang berbulu kat dalam rumah seperti kucing dan arnab.
2. Jangan menggunakan sarung bantal, cadar dan selimut yang diperbuat daripada bulu binatang.
3.Ringankan tangan anda untuk membersihkan karpet/permaidani. Kalau perlu, gunakan penyedut hampagas (vacuum cleaner) yang berkualiti tinggi.
4. Kalau anda nak mengemas rumah, pakailah penutup hidung.
5. Minum air suam/mineral dengan kadar yang banyak. Bagus juga kalau anda amalkan minum sup panas.
6. Selalulah mencuci dan menjaga kebersihan muka anda.
7. Kalau anda ada alahan terhadap jenis makanan tertentu (contohnya makanan laut), janganlah makan makanan tu.
On 05:05 by Admin in

Penyakit Resdung dan kaitannya dengan penyakit gigi

Rongga sinus ialah rongga yang terdapat dalam tulang pipi dan dahi. Ia mempunyai hubungan dengan hidung. Oleh sebab itu, tanda-tanda penyakit sinusitis adalah berkaitan dengan hidung seperti hidung berhingus, tersumbat dan berbau busuk. Tetapi tahukah anda bahawa penyakit sinusitis atau resdung ini mempunyai kaitan dengan kerosakan gigi ? Sebenarnya kerosakan atau sakit gigi di bahagian atas merupakan salah satu punca utama penyakit sinusitis. Kuman atau bakteria yang berasal dari kerosakan atau sakit gigi boleh merebak dengan mudah ke dalam rongga sinus menyebabkan sinusitis. Ini adalah kerana kedudukan gigi bahagian atas (upper jaw) yang amat dekat dengan rongga sinus. Rongga sinus yang terdapat dalam tulang pipi (mixillary sinus) merupakan rongga sinus yang paling sering mendapat sinusitis akibat dari kerosakan gigi paling atas. Gigi paling atas mempunyai akar yang panjang di dalam tulang gusi. Kadangkala akar gigi tersebut terlalu panjang sehingga ia menembus rongga sinus maxillary yang terdapat di dalam tulang pipi. Oleh itu sebarang kerosakan atau jangkitan pada akar gigi dengan mudah merebak ke rongga tersebut menyebabkan ‘sinusitis’.


Bagaimana resdung merosakkan gigi ?

Apakah perkara-perkara yang berlaku pada gigi bahagian atas yang boleh menyebabkan sinusitis ? Di antara punca utama ialah mencabut gigi. Mencabut gigi meninggalkan kesan lubang pada gusi. Jika akar gigi tersebut panjang, lubangnya akan terlalu dalam sehingga boleh menghubungkan rongga sinus maxillary dan mulut. Akibatnya, kuman atau bakteria dari mulut boleh merebak di rongga sinus menyebabkan sinusitis. Biasanya lubang tersebut akan pulih dan ditutup semula melalui rawatan ubat-ubatan. Tetapi jika lubang berterusan ia boleh mengakibatkan ‘fistula’ di mana bahan makanan yang dikunyah atau air minuman boleh keluar melalui hidung. Sebaliknya, nanah dari dalam rongga sinus pula boleh meleleh melalui lubang tersebut ke dalam mulut. Selain mencabut gigi, prosedur menampal gigi atau menanam gigi prostesis juga boleh menyebabkan sinusitis. Oleh itu, seseorang yang menjalani sebarang prosedur pada gigi bahagian atas haruslah waspada dan prihatin terhadap kemungkinan berlaku sinusitis atau resdung. Tanda-tanda penyakit sinusitis biasanya mula timbul seminggu atau dua minggu selepas prosedur pada gigi dilakukan. Biasanya, jika disyaki gigi tersebut boleh mengakibatkan sinusitis, doktor gigi harus memberi antibiotik kepada pesakit selama sekurang-kurangnya seminggu.

Rawatan resdung pada gigi peringkat 1
Sinusitis yang disebabkan oleh masalah pada gigi bahagian atas perlu mendapat rawatan tertentu untuk sembuh. Cara rawatannya harus terlebih dahulu menjurus kepada rawatan gigi kerana masalah gigi merupakan puncanya. Oleh itu, pesakit harus berjumpa doktor gigi terlebih dahulu. Jika ia berpunca dari jangkitan kuman pada gigi, antibiotik harus diberi. Biasanya dengan rawatan gigi yang sempurna dan antibiotik, masalah sinusitis juga boleh sembuh. Tetapi, jika sinusitis masih berterusan walaupun penyakit gigi telah sembuh, rawatan khusus untuk sinusitis harus dilakukan.

Rawatan resdung pada gigi peringkat 2
Rawatan awal yang biasa dilakukan ialah mencuci rongga sinus untuk mengeluarkan hingus dan nanah. Prosedur ini dipanggil ‘antral washout’ dan agak menyakitkan. Prosedur ini mungkin terpaksa dilakukan berulang kali sehingga rongga sinus betul-betul bersih dari jangkitan.

Rawatan resdung pada gigi 2 peringkat 3
Jika ia masih belum sembuh, rawatan pada peringkat seterusnya memerlukan pembedahan sinus. Melalui pembedahan di antara bibir dan gusi bahagian atas, pakar bedah dapat meneroka ke dalam rongga sinus maxillary dan mengeluarkan segala kotoran dan kulit dalam sinus yang berpenyakit. Prosedur ini hanya bagi membuang kotoran yang diakibatkan oleh penyakit resdung, tetapi ia tidak menyingkirkan 100% kuman bakteria yang menyebabkan jangkitan resdung dan ia boleh berulang semula.
On 04:57 by Admin in

Simptom Pengidap Resdung

Hilangkan resdung dengan mengunakan herba menjadi salah satu alternatif untuk pengidap resdung. Pelbagai ikhtiar dibuat bagi menghilangkan resdung yang kerap mengganggu pengidap penyakit resdung ini.

Simptom-simptom biasa pengidap penyakit resdung adalah seperti gatal-gatal hidung & muka, kerap bersin, hidung rasa bersumbat & berhingus dan juga alahan pada habuk & makanan laut.

Ramai pengidap resdung memilih rawatan tradisional atau penggunaan herba untuk hilangkan resdung yang di alami. Dalam artikel ini admin kongsikan info penyakit resdung hidung agar dapat memberikan sedikit pencerahan kepada para pembaca tentang masalah resdung yang dihidapi hampir 65% penduduk Malaysia.

Apa itu RESDUNG ?


Resdung’ pula adalah istilah Melayu yang biasa digunakan, dijelaskan oleh Kamus Dewan sebagai penyakit hidung yang disebabkan oleh radang pada selaput sinus.

Resdung melalui istilah kedoktoran: penahanan mukus yang disebabkan oleh pembengkakan membran (sel lapisan kulit). Bengkak ini terjadi kerana saluran tersekat.

Mukus adalah bahasa saintifik kepada cecair berupa lendir (hingus) yang ada di dalam tubuh manusia. Petanda paling ketara mukus berlebihan adalah kulit wajah berminyak. Minyak yang boleh mengakibatkan wajah kusam dan lebih teruk lagi, jerawat dalam bentuk bisul atau bernanah.

Resdung ialah radang pada rongga-rongga sinus di dalam tulang muka yang bersambung dengan hidung. Biasanya lendir dihasilkan oleh rongga-rongga ini pada setiap masa dan akan mengalir kedalam hidung .
 
Jika saluran sinus ini tersumbat, lendir tersebut akan terkumpul dan akan menjadi pekat seterusnya akan menyebabkan membiakkan kuman bakteria dan jika dibiarkan berterusan tanpa sebarang rawatan hilangkan resdung akan menyebabkan kesihatan anda mula terjejas.
Kebiasaannya, penghidap penyakit resdung mempunyai masalah seperti kerap bersin, dengkuran yang kronik, batuk, gata-gatal hidung, mata, telinga dan muka, tidak sedap badan, letih dan berasa sakit kepala, manakala pada tahap yang kronik, penyakit resdung boleh memberi kesan kepada telinga sehingga menyebabkan seseorang itu pekak malah boleh menghilangkan deria bau.


Apa yang lebih menakutkan, jika dibiarkan tanpa sebarang rawatan untuk hilangkan resdung, ia sebenarnya boleh mengundang maut akibat masalah komplikasi pada otak.

  

8 Simptom-Simptom Pengidap Resdung



1-Hidung tersumbat dan berbau busuk.
2-Gatal-gatal di kawasan muka, telinga, mata dan hidung.
3-Hidung kerap berair walaupun tidak selsema.
4-Kerap bersin terutama di waktu pagi.
5-Rasa berat muka atau sakit terutama di kawasan antara mata.
6-Sakit tekak sacara berpanjangan serta berulang.
7-Mengalami demam atau rasa tidak sedap badan secara berpanjangan.
8-Kerap sakit kepala atau migrain.

*Simptom paling ketara pengidap resdung : Hidung kerap sangat tersumbat kerana lendir / kahak dan amat sukar dihembus keluar. Akibatnya suara menjadi agak ‘sengau’.


Simptom di atas berlaku secara berulang terutama di waktu pagi, cuaca sejuk, tempat berhabuk & selepas mengambil makanan laut.

Sekiranya anda mempunyai tanda-tanda tersebut, kebarangkalian anda mempunyai penyakit resdung dan jika dibiar belarutan tanpa sebarang alternatif untuk hilangkan resdung tersebut, ianya boleh menyebabkan kecacatan sehingga memerlukan rawatan pembedahan yang mana kos yang agak tinggi.



Lebih parah lagi, penyakit resdung muka dan hidung ini boleh merebak ke bahagian mata. Akibatnya, anda boleh hilang deria penglihatan dan ia juga boleh menjangkiti otak.Penyakit resdung bukanlah jenis penyakit berjangkit.

“ … Gejalanya resdung yang tidak dirawat boleh menyebabkan kerosakan kepada sinus dan tulang pipi sehingga memerlukan pembedahan…’’

rawatan resdung
Dr. Amir Izwan Mohamed Dahan.
Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pusrawi KL.

Lain-lain simptom yang turut dikaitkan dengan penyakit resdung ialah seperti :
  • Mudah sejuk. Contohnya kena hujan sikit saja, tetapi dah rasa nak demam.
  • Batuk sampai terasa gatal kerongkong & anak tekak.
  • Telinga rasa tersumbat.
  • Dengung telinga sukar hilang apabila berada di ketinggian berubah-ubah seperti dalam kapal terbang atau lif.
  • Mata terasa gatal-gatal & bila digaru, rasa gatal makin menjadi-jadi. Mata akan jadi lebih merah & berair.
  • Hidung kadang-kala meleleh air (tanpa hembusan)
  • Gatal mata yang apabila digaru, semakin menjadi-jadi rasa nak teruskan – sampai merah dan berair.
  • Bersin melampau, sampai pengaruhi suhu badan (jadi panas) dan sikap (baran).
On 04:39 by Admin in

Tips Sihat Mencegah Resdung

Jika anda mengambil gejala-gejala seperti kerap bersin terutamanya waktu pagi, hidung gatal-gatal, gatal diantara mata dan muka, hidung tersumbat, rasa berlendir di hidung dan tekak, sering sakit di muka serta alahan makanan laut, anda sebenarnya mengalami RESDUNG.





Resdung adalah radang pada rongga-rongga sinus [rongga-rongga dalam tulang muka yang bersambung dengan hidung]. Biasanya lendir dihasilkan oleh rongga-rongga ini setiap masa dan disalirkan melalui hidung. Apabila hidung tersumbat, lendir ini akan berkumpul dan menjadi tempat pembiakan bakteria.

Apabila gejala resdung berlanjutan sehingga berminggu-minggu, ia diklasifikasikan sebagai resdung akut. Ia biasanya penyebab kepada demam dan selsema yang berpunca daripada jangkitan bakteria di rongga sinus hingga menyebabkan ia bengkak dan menyempit.

Jangkitan melebihi 3 bulan, resdung akut menjadi bertambah kronik.  Jika tidak dirawat, ia akan menyebabkan rongga sinus bernanah, berbau dan kerosakan pada rongga hidung dan tulang pipi sehingga memerlukan pembedahan oleh doktor pakar.

Lebih parah lagi, ia boleh menyebabkan kematian secara tidak langsung yang berpunca daripada komplikasi pada otak penghidap resdung.

Kini, pelbagai kaedah moden untuk menghadapi masalah resdung seperti ubat-ubatan antibiotik, spray nasal dan pembedahan oleh pakar. Tidak lupa juga rawatan secara traditional seperti bekam, asap rokok resdung, akupuntur, mengeluarkan lendur hidung, terapi wap panas dan lain-lain.

Tips Sihat Mencegah Resdung

1. Mengamalkan tabiat pemakanan yang baik, berkhasiat dan seimbang
2. Mengurangkan makanan berlemak, berminyak dan berasid.
3. Memperbanyakkan meminum air suam dan buah-buahan.
4. Menghindari minuman berais dan beralkohol.
5. Menghentikan tabiat merokok.
On 04:30 by Admin in

Penyakit Resdung - Punca Dan Kesan

Punca Dan Cara Merawat Resdung. Hendak tahu apa punca berlakunya resdung dan cara rawatan? RESDUNG ialah sejenis penyakit hidung yang terjadi akibat radang pada membran sinus. Sinus ialah rongga dalam tulang muka yang mengandungi udara dan permukaannya diseliputi mukosa (kulit yang mengeluarkan mukus atau hingus). Banyak ubat berada di pasaran untuk mengatasi resdung pada masa kini tetapi anda dinasihatkan untuk melihat senarai produk yang diharamkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum membeli.

 

Mukosa mengeluarkan hingus dalam keadaan biasa (fisiologikal) dan hingus ini mengalir keluar dari sinus melalui lubang kecil dinamakan ‘ostium’ ke dalam rongga hidung. Apabila ‘ostium’ tersumbat, hingus terkumpul dalam sinus dan keadaan ini mengundang kehadiran kuman yang akhirnya boleh membawa kepada terjadinya resdung.

Penyakit Resdung - Punca Dan Cara Merawat.  

Resdung boleh disebabkan virus, bakteria atau kulat (fungus). Semakin banyak kes resdung kulat dijumpai akhir-akhir ini, baik pada pesakit biasa atau mereka yang ada kompromi imuniti (ralat sistem pertahanan badan).

Penemuan Klinik Mayo pada 1999 mendapati, ada kulat pada 96 peratus pemeriksaan sampel hingus dari sinus pesakit sinusitis kronik. Ini bermakna ramai daripada pesakit sinusitis kronik mempunyai resdung kulat atau penyakit itu menjadi pemula kepada resdung kulat. Satu kumpulan lagi pesakit yang kerap mengidap resdung kulat ialah mereka yang ada polip hidung.

Bagaimana ia terjadi?

Ketika bernafas, setiap orang menghidu masuk ke dalam hidung berjuta spora fungus setiap hari (dianggarkan 57 juta spora sehari). Bagaimanapun, spora ini tidak dapat membiak dalam hidung atau paru-paru yang segar dan sihat.

Mukosa hidung dilengkapi sistem pertahanan tertentu untuk melawan fungus atau bakteria. Apabila berlaku ralat dalam sistem imuniti setempat atau umum, spora fungus dapat membiak sehingga menyebabkan resdung kulat.

Besar kemungkinan spora fungus tersedut ke dalam rongga sinus ketika bersin atau menghembus hingus dengan kuat. Secara tepat bagaimana proses ini terjadi tidak difahami sepenuhnya.

Apa kesannya kepada hidung dan badan?

Spora dalam rongga sinus akan membiak dan mula memberi kesan buruk kepada sinus. Kewujudan fungus membawa kepada beberapa reaksi kimia dan pemprosesan Major Basic Protein (MBP) yang berperanan membunuh fungus, tapi dalam masa sama memudaratkan mukosa dan membenarkan prolifirasi atau pembiakan bakteria.

Ada beberapa jenis sinusitis kulat, tetapi ia boleh dibahagikan kepada dua entiti utama, iaitu:
  • 1. Jenis yang menyerang struktur sekeliling (invasive). Ini lebih berbahaya. Satu entiti dipanggil fulminant fungal rhinosinusitis mampu merebak cepat hingga ke otak dan mengakibatkan kematian dalam masa singkat.

  • 2. Jenis ini terjadi pada kes diabetes tidak terkawal dan pesakit kurang ketahanan badan. Penyakit jenis ini menyerang pembuluh darah.

  • 3. Jenis yang tidak menyerang struktur sekeliling (non-invasive). Contohnya ialah mycetoma (bebola kulat), allergic fungal sinusitis.

Siapa yang boleh terkena jangkitan?

Penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa saja dan tidak tertumpu kepada mereka yang ada ralat imuniti umum, pesakit diabetis atau pesakit kronik saja.

Ia lebih membabitkan orang dewasa dan sangat jarang berlaku kepada kanak-kanak. Kerapkali pesakit adalah mereka yang diketahui ada resdung dan sudah melakukan beberapa pembedahan hidung sebelumnya, tetapi penyakitnya tetap berulang. Sinus yang paling kerap terbabit ialah sinus maksila.

Simptom kulat resdung

Pesakit mengalami simtom seperti sinusitis bakteria seperti:
  •   Hidung berhingus, terutama ada benda hitam dalam hingus
  •   Hidung tersumbat
  •   Sakit kepala
  •   Keletihan dan badan rasa kurang sihat
  •   Batuk kronik
Selalunya pesakit juga ada sinusitis yang tidak baik dengan rawatan antibiotik bahkan surgeri; ada sinusitis sebelah (unilateral), mengalami kerosakan pada tulang sinus (dapat dilihat melalui ujian imbasan Computer Tomography (CT) sinus) dan pesakit pernah mengeluarkan hingus terlalu pekat atau mempunyai tompokan hitam atau menyerupai keju.

Pemeriksaan

Pesakit memerlukan pemeriksaan endoskopi hidung. Pemeriksaan mungkin menampakkan ketulan hitam, hingus sangat pekat dan polip. Kajian lain yang diperlukan untuk mengenalpasti penyakit ialah kultur kulat atau pemeriksaan histology cecair dari sinus.

Imbasan CT pula akan menunjukkan penemuan spesifik seperti kelompok putih (tumpat) atau pembabitan tulang sinus. Ujian ‘magnetic resonance imaging’ (MRI) pula dapat memberikan gambaran radiolojikal yang spesifik mengenai kewujudan penyakit.

Bagaimana ia dirawat?

Rawatan diberikan bergantung kepada kategori dan tahap penyakit. Misalnya bagi jenis ‘invasive’, rawatan segera diperlukan, termasuk pembedahan untuk membuang tisu terbabit, penggunaan ubat antikulat secara sistemik dan membetulkan sistem badan seperti tahap gula.

Dalam memberi rawatan, keadaan keseluruhan pesakit perlu dipertimbangkan. Bagi sinus yang ada bebola, fungus rawatannya ialah pembedahan sinus (termasuk secara endoskopik) tetapi ubat antifungus sistemik tidak diperlukan. Perlu ingat, ubat antifungal sistemik ada banyak kesan sampingan.

Bagaimana kesudahannya?

Oleh kerana penyakit resdung kulat ada pelbagai jenis, maka tahap kesudahan dan perkembangan penyakit ini juga berbeza. Tanpa rawatan, penyakit ini akan menyebabkan simptom disebut di atas seperti sakit muka, hidung berhingus, sakit kepala, hidung tersumbat dan badan terasa kurang sihat.

Setelah dirawat, sama ada dengan ubat atau pembedahan, penyakit boleh menjadi baik atau berkurangan. Bagi jenis bebola kulat, pembedahan selalunya memberi banyak kebaikan. Bagi jenis ‘invasive’, kesudahannya selalunya mendukacitakan.

Apa perlu anda lakukan?

Ramai pesakit resdung kulat tidak menyedari mereka ada penyakit itu. Jika anda ada simptom yang disebutkan di atas, anda perlu mendapatkan rawatan segera. Rawatlah penyakit sebelum ia menjadi lebih teruk.

Thursday 17 March 2016

On 21:26 by Admin in

RESDUNG - Risiko jangkitan otak

ANDA batuk, kerap bersin, tidak bermaya dan tidak sedap badan. Hidung pula rasa berair dan tersumbat. Anda terasa yang anda demam.

 

Apabila ubat-ubatan yang diambil tidak meredakan gejala-gejala demam biasa, bangun pagi anda mulai diiringi dengan sakit kepala dan rasa berat pada bahagian muka.
Selepas doktor mendengar sejarah gejala, memeriksa bahagian muka, dahi dan mungkin menjalankan sinaran-X pada bahagian sinus, anda disahkan menghidap penyakit sinusitis.

Di kalangan masyarakat setempat, ia lebih popular sebagai resdung dan sangat biasa terjadi di kalangan rakyat negara ini.

``Ringkasnya, resdung menghasilkan pelbagai gejala hidung dan tidak ketinggalan boleh juga memberikan kesan terhadap tekak, peti suara serta telinga tengah.

``Salah satu punca resdung adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria ke atas hidung dan rongga di sekelilingnya yang dipanggil sinus,'' kata Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, Dr. Amir Izwan Mohamed Dahan.

Menurutnya, sinus sebenarnya adalah rongga-rongga di dalam tulang muka yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran yang sangat kecil.

Sinus terletak pada bahagian muka - pipi di bawah mata, di antara dua mata, hanya sedikit di belakang hidung dan turut meliputi bahagian dahi seseorang.

Ia terbahagi kepada empat; masing-masingnya dikenali sebagai sinus frontal, sinus maksila, sinus etmoid dan sinus sfenoid.

Fungsi sebenar sinus tidak diketahui dengan tepat tetapi ada antara teori mengatakan sinus berfungsi meringankan tengkorak selain turut memainkan peranan dalam degungan suara.

``Biasanya lendir dihasilkan oleh rongga-rongga ini pada setiap masa dan disalirkan ke dalam hidung.

``Jika saluran daripada sinus ini tersumbat, lendir akan terkumpul dan rongga sinus menjadi tempat pembiakan yang baik bagi kuman bakteria,'' katanya.

Dr. Amir Izwan yang juga pakar bedah kepala dan leher berkata, bengkakan di dalam lapisan hidung juga boleh menyebabkan salur sinus ini tersumbat.

Salah satu punca utama bengkakan dalam hidung ini ialah radang hidung disebabkan oleh alahan (rhinitis) yang agak berleluasa dalam masyarakat kita.

Mengulas lanjut, resdung boleh juga terjadi disebabkan oleh rerambut halus silia di dalam sinus yang sepatutnya membantu pengaliran mukus, gagal menyempurnakan tugasnya.Aktiviti menyelam ataupun berenang merupakan antara beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko resdung selain asap rokok yang dikenal pasti sebagai pencetus radang hidung.Oleh itu, adalah sangat penting `mengharamkan' tabiat merokok di dalam persekitaran rumah mahupun kenderaan pesakit resdung, sekali gus mengelakkan tempat-tempat yang seumpamanya.

Katanya, apabila gejala resdung berlaku dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu, ia diklasifikasikan sebagai akut.

Resdung akut kadangkala adalah penyebab demam, terutamanya yang berlanjutan lebih daripada tujuh hingga 10 hari.

``Asalnya, virus-virus yang menyebabkan selesema biasa, menyerang lapisan dalam hidung dan sinus menyebabkan bengkak dan menyempit.

``Badan juga bertindak balas terhadap virus dengan menghasilkan lebih banyak mukus. Ini menyebabkan hidung tersumbat dan nanah terkumpul di dalam sinus yang bengkak,'' kata Dr. Amir Izwan.

Demam yang mula kebah tetapi kemudiannya bertukar melarat menjadi sebahagian tanda-tanda resdung akut.

Di samping itu, kesakitan di dalam bahagian dahi yang timbul semasa anda mencondongkan badan ke depan seperti waktu sujud juga boleh menjadi petanda.

Ditanya bagaimanakah caranya untuk membezakan di antara resdung, demam selesema biasa dan alahan hidung memandangkan ketiga-tiganya mempunyai gejala yang saling bertindihan, Dr. Amir Izwan menjelaskan:

``Jika pesakit demam dan mempunyai gejala berkaitan hidung seperti sakit muka dan hidung, keluar nanah berwarna kuning atau hijau daripada hidung atau kahak warna sama pada sebelah pagi, itu resdung.

``Apabila gejala-gejalanya berlaku lebih kerap ataupun jangkitan berpanjangan lebih daripada tiga bulan, resdung akut boleh menjadi kronik.

``Gejalanya mungkin tidak seteruk resdung akut namun, jika tidak dirawat boleh menyebabkan kerosakan kepada sinus dan tulang pipi sehingga memerlukan pembedahan,'' katanya.
Walaupun resdung tidak boleh menjadi kanser sehingga menyebabkan hidung rompong tetapi sebaliknya kanser boleh memperlihatkan gejala-gejala seperti penyakit itu.

Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, resdung boleh mengakibatkan maut tidak langsung yang disebabkan oleh komplikasi pada otak pesakit.

Serangan resdung berulang-ulang juga boleh berlaku. Pesakit selalunya diberikan rawatan antibiotik untuk menyembuhkannya tetapi penyakit datang semula sebulan dua kemudian.
Puncanya mungkin disebabkan oleh faktor penyebab penyakit ini yang tidak dirawat sepenuhnya, lazimnya susunan tulang dalaman sinus yang tidak normal dan sempit. Dalam kes-kes begini, pembedahan endoskopi dilakukan.

Sekiranya gejala resdung masih berterusan, kaedah baru ini akan dilakukan di mana rongga-rongga sinus terlibat akan dibuka menggunakan alat-alat khas di bawah penglihatan kamera skop.

Pembedahan sinus endoskopi ini sama sekali tidak memerlukan belahan pada kulit kerana segala prosedurnya dilakukan di dalam rongga hidung.

Ini berbeza dari kaedah lama pembedahan di mana belahan terpaksa dibuat di sekeliling kawasan hidung.
Pun begitu, gejala alahan hidung masih boleh terjadi selepas pembedahan dan hanya dapat dikawal melalui penggunaan ubat-ubatan.

``Justeru, adalah sangat penting bagi para pesakit untuk mengekalkan pengambilan ubat-ubatan antialahan selepas pembedahan,'' kata Dr. Amir Izwan.

Tambahnya, cara terbaik untuk mencegah serangan resdung ialah dengan merawat gejala-gejala hidung dengan segera sebelum ia melarat.

Gejala resdung:

* Hidung tersumbat
* Lendir daripada hidung dan tekak
* Muka berasa sakit dan berat terutamanya pada bahagian antara mata
* Sakit tekak berpanjangan dan berulang-ulang
* Demam atau rasa tidak sedap badan yang berpanjangan akibat gejala di atas
* Gejala alahan hidung seperti bersin, gatal hidung dan sebagainya.


Punca resdung:

* Susunan tulang dalaman hidung yang sempit
* Hidung bengkok
* Mandi dan terjun di dalam air yang kotor
* Jangkitan gigi atas
* Ketumbuhan di dalam hidung
* Objek dimasukkan ke dalam hidung, contohnya putik kapas, maik dan kertas
* Tisu belakang hidung yang bengkak terutamanya kanak-kanak.


Komplikasi resdung:

* Jangkitan nanah di sekeliling kawasan mata
* Jangkitan otak (meningitis)
* Sakit tekak yang kronik
* Jangkitan tulang muka
* Memburukkan keadaan lelah
* Berdengkur yang kronik
* Jangkitan telinga dan tonsil, terutamanya kanak-kanak
* Alahan hidung atau hidung sensitif
* Selesema biasa yang melarat.


Diagnosis:

* Skop hidung untuk melihat punca resdung
* Skan CT hidung dan sinus untuk melihat rongga-rongga yang terlibat dan kawasan putih menandakan lendir atau dipenuhi nanah


Rawatan:

Berdasarkan gejala pesakit dan hasil diagnosis, rawatan bersesuaian akan disyorkan.
* Antibiotik (10 hingga 14 hari bagi resdung akut)
* Ubat selesema
* Dekongestan; ubat titis atau semburan hidung
* Pembedahan hanya akan dipertimbangkan setelah rawatan-rawatan lain tidak berkesan ataupun jika ada sesuatu yang menghalang sinus dan ia tidak dapat disembuhkan dengan ubat-ubatan.

Tip menguruskan resdung:

* Bagi pesakit yang mempunyai alahan hidung disarankan agar tidak menyapu rumah tetapi menggunakan vakum atau mop
* Elakkan makanan yang boleh menyebabkan alahan
Setiap individu alah kepada makanan yang berlainan terutamanya ramai orang yang tidak boleh memakan makanan laut yang kaya protein atau belacan
* Banyakkan berehat. Berbaringlah menggunakan bahagian badan yang membuatkan anda bernafas dengan lebih baik kerana ia berupaya melegakan resdung
* Hirup sup atau cecair yang panas dan minum banyak air
* Lap muka anda dengan menggunakan tuala yang dibasahkan dengan air suam ataupun melakukan pernafasan wap
* Jangan menggunakan semburan hidung dekongestan lebih dari tujuh hari. Jika tidak, bengkak di dalam sinus akan menjadi lebih teruk selepas anda memberhentikan penggunaannya
* Bilas saluran sinus menggunakan larutan salina yang boleh didapati di farmasi
* Anda juga boleh menggunakan ubat-ubatan seperti acetaminophen dan parasetamol untuk merawat kesakitan
* Berbincanglah dengan doktor anda sebelum mengambil ubat demam kerana sesetengahnya boleh memburukkan gejala resdung ataupun menimbulkan lain-lain masalah.

On 21:10 by Admin in

 11 Tanda Anda Menghidapi Penyakit Resdung



Dianggarkan 50-60% rakyat Malaysia menghadapi penyakit resdung. Malah mengikut kajian statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak 25% penduduk Malaysia menghidapi penyakit resdung yang kronik.

Ini bermaksud, majoriti daripada rakyat Malaysia menghidapi penyakit ini. Banyak faktor yang boleh menyumbang terhadap penyakit ini terhadap penduduk Malaysia seperti faktor iklim, pemakanan, gaya hidup dan sebagainya.

Adakah anda salah seorang yang dihidapi oleh penyakit ini? Baiklah di dalam artikel ini saya ingin kongsikan kepada anda 10 tanda bahawa anda telah dijangkiti penyakit resdung.

1. Hidung Berair & Tersumbat

Jika anda kerap mengalami hidung berair dan tersumbat maka berkemungkinan anda dijangkiti resdung. Terutamanya setelah makan makanan di dalam tin, pedas, makanan laut dan beberapa jenis makanan lain yang bertindakbalas dengan kuman resdung.

2. Kerap Bersin Di Waktu Pagi

Jika anda kerap bersin apabila bangun dari tidur atau ketika mandi di awal pagi, maka anda juga berkemungkinan dijangkiti resdung. Ini kerana kuman resdung bertindakbalas dengan keadaan sekitar yang sejuk. Biasanya anda akan bersin setelah hidung berair dan tersumbat.

3. Gatal Mata

Salah satu petanda anda terkena penyakit resdung ialah apabila mata anda mula gatal apabila keadaan sekitar yang sejuk ataupun selepas makan sesuatu yang menyebabkan tindakbalas kuman resdung. Semakin anda garu mata anda, semakin ia gatal dan akhirnya menyebabkan mata anda kemerah-merahan.

4. Nafas & Mulut Berbau

Nafas dan mulut penghidap penyakit resdung ini kebiasaanya berbau kerana saluran pernafasan mereka tersumbat dan termendap. Apabila anda mula bercakap maka udara yang termendap itu akan mula keluar dan baunya adalah kurang menyenangkan bagi orang sekeliling.

5. Tidur Berdengkur

Tidur berdengkur biasanya dikaitkan dengan orang yang berbedan besar. Tetapi segelintir penghidap penyakit resdung akan berdengkur apabila tidur kerana saluran pernafasan pada bahagian hidung mereka tersumbat. Ya, anda akan berdengkur walaupun anda berbadan kecil kerana resedung.

6. Hilang Deria Bau

Jika penyakit resdung anda sudah berada di tahap yang agak teruk, maka penghidap akan mengalami masalah dengan deria bau. Anda tidak boleh mengenalpasti sesuatu bau dengan baik kerana bahagian dalam hidung anda sudah diselaputi dengan banyak sel kuman resdung.

7. Rambut Mula Ada Kelemumur

Penghidap resedung yang teruk juga akan mempunyai kelemumur yang mana ia sangat gatal apabila tengah hari terik. Walaupun anda menjalani rawatan menghilangkan kelemumur ataupun menggunakan shampoo anti-kelemumur namun ia tidak dapat dihilangkan.

8. Naik Jerawat

Jika muka anda berjerawat maka itu salah satu tanda berkemungkinan anda menghidapi penyakit resdung. Ini kerana lendir resdung sememangnya berkumpul di bahagian bawah mata dan jika teruk maka ia akan bertindakbalas dengan kulit muka anda.

9. Sakit Kepala

Anda juga akan mengalami sakit dan kepala secara berpanjangan oleh kerana penyakit resdung ini kerana kuman banyak berkumpul di bahagian bawah dan atas mata.

10. Bertindakbalas Dengan Makanan Terperap

Salah satu petanda jelas anda menghidapi resedung apabila kesemua petanda-petanda yang saya nyatakan di atas akan muncul selepas anda mengambil makanan laut dan makanan yang diperam (belacan, budu, cencalok, sardin & etc) sehinggakan menyebabkan penghidap resdung kronik trauma untuk mengambil makanan tersebut.

11. Bertindakbalas Dengan Suhu Sejuk

Simptom di atas juga akan muncul apabila pada waktu pagi dan pada suhu sekeliling yang terlalu sejuk. Biasanya penghidap resdung akan bersin berkali-kali apabila mandi di pagi hari dan hidung akan tersumbat apabila berada di dalam bilik yang bersuhu sejuk akibat penghawa dingin.

Resdung Bahaya Jika Dibiarkan!

Jika anda mempunyai beberapa petanda di atas, maka anda berkemungkinan besar menghidap resdung. Ia adalah berdasarkan pengalaman peribadi saya sahaja. Cuma tidak pasti sejauh mana tahap resdung yang anda hadapi sama ada kronik ataupun biasa.

Penyakit resdung ini bahaya jika dibiarkan. Maka anda perlu mengambil langkah merawat segera sebelum penyakit anda menjadi bertambah kronik yang mana mungkin anda perlu menjalani pembedahan untuk merawatnya. Malah mungkin boleh menjangkiti bahagian otak.

Anda boleh mencuba pelbagai petua seperti jangan biarkan terdedah dengan habuk, perlu berpantang di dalam makan, jauhkan diri dari binatang yang berbulu, perlu kerap menukar cadar tidur dan sebagainya. Jika tidak kuman resdung ini akan terus membiak.