Friday 18 March 2016

On 05:05 by Admin in

Penyakit Resdung dan kaitannya dengan penyakit gigi

Rongga sinus ialah rongga yang terdapat dalam tulang pipi dan dahi. Ia mempunyai hubungan dengan hidung. Oleh sebab itu, tanda-tanda penyakit sinusitis adalah berkaitan dengan hidung seperti hidung berhingus, tersumbat dan berbau busuk. Tetapi tahukah anda bahawa penyakit sinusitis atau resdung ini mempunyai kaitan dengan kerosakan gigi ? Sebenarnya kerosakan atau sakit gigi di bahagian atas merupakan salah satu punca utama penyakit sinusitis. Kuman atau bakteria yang berasal dari kerosakan atau sakit gigi boleh merebak dengan mudah ke dalam rongga sinus menyebabkan sinusitis. Ini adalah kerana kedudukan gigi bahagian atas (upper jaw) yang amat dekat dengan rongga sinus. Rongga sinus yang terdapat dalam tulang pipi (mixillary sinus) merupakan rongga sinus yang paling sering mendapat sinusitis akibat dari kerosakan gigi paling atas. Gigi paling atas mempunyai akar yang panjang di dalam tulang gusi. Kadangkala akar gigi tersebut terlalu panjang sehingga ia menembus rongga sinus maxillary yang terdapat di dalam tulang pipi. Oleh itu sebarang kerosakan atau jangkitan pada akar gigi dengan mudah merebak ke rongga tersebut menyebabkan ‘sinusitis’.


Bagaimana resdung merosakkan gigi ?

Apakah perkara-perkara yang berlaku pada gigi bahagian atas yang boleh menyebabkan sinusitis ? Di antara punca utama ialah mencabut gigi. Mencabut gigi meninggalkan kesan lubang pada gusi. Jika akar gigi tersebut panjang, lubangnya akan terlalu dalam sehingga boleh menghubungkan rongga sinus maxillary dan mulut. Akibatnya, kuman atau bakteria dari mulut boleh merebak di rongga sinus menyebabkan sinusitis. Biasanya lubang tersebut akan pulih dan ditutup semula melalui rawatan ubat-ubatan. Tetapi jika lubang berterusan ia boleh mengakibatkan ‘fistula’ di mana bahan makanan yang dikunyah atau air minuman boleh keluar melalui hidung. Sebaliknya, nanah dari dalam rongga sinus pula boleh meleleh melalui lubang tersebut ke dalam mulut. Selain mencabut gigi, prosedur menampal gigi atau menanam gigi prostesis juga boleh menyebabkan sinusitis. Oleh itu, seseorang yang menjalani sebarang prosedur pada gigi bahagian atas haruslah waspada dan prihatin terhadap kemungkinan berlaku sinusitis atau resdung. Tanda-tanda penyakit sinusitis biasanya mula timbul seminggu atau dua minggu selepas prosedur pada gigi dilakukan. Biasanya, jika disyaki gigi tersebut boleh mengakibatkan sinusitis, doktor gigi harus memberi antibiotik kepada pesakit selama sekurang-kurangnya seminggu.

Rawatan resdung pada gigi peringkat 1
Sinusitis yang disebabkan oleh masalah pada gigi bahagian atas perlu mendapat rawatan tertentu untuk sembuh. Cara rawatannya harus terlebih dahulu menjurus kepada rawatan gigi kerana masalah gigi merupakan puncanya. Oleh itu, pesakit harus berjumpa doktor gigi terlebih dahulu. Jika ia berpunca dari jangkitan kuman pada gigi, antibiotik harus diberi. Biasanya dengan rawatan gigi yang sempurna dan antibiotik, masalah sinusitis juga boleh sembuh. Tetapi, jika sinusitis masih berterusan walaupun penyakit gigi telah sembuh, rawatan khusus untuk sinusitis harus dilakukan.

Rawatan resdung pada gigi peringkat 2
Rawatan awal yang biasa dilakukan ialah mencuci rongga sinus untuk mengeluarkan hingus dan nanah. Prosedur ini dipanggil ‘antral washout’ dan agak menyakitkan. Prosedur ini mungkin terpaksa dilakukan berulang kali sehingga rongga sinus betul-betul bersih dari jangkitan.

Rawatan resdung pada gigi 2 peringkat 3
Jika ia masih belum sembuh, rawatan pada peringkat seterusnya memerlukan pembedahan sinus. Melalui pembedahan di antara bibir dan gusi bahagian atas, pakar bedah dapat meneroka ke dalam rongga sinus maxillary dan mengeluarkan segala kotoran dan kulit dalam sinus yang berpenyakit. Prosedur ini hanya bagi membuang kotoran yang diakibatkan oleh penyakit resdung, tetapi ia tidak menyingkirkan 100% kuman bakteria yang menyebabkan jangkitan resdung dan ia boleh berulang semula.